Monday, February 27, 2017

Lelaki yang merokok itu yang aku cinta. Harus bagaimana?





6 tahun lamanya saya tunggu. Sehinggalah lepas lahir anak ke 3, akhirnya datang hidayah tepat ke hati dia. Ternyata penantian itu walaupun lama, buatkan hati saya berbunga-bunga.
.
.
Beberapa tahun yang lepas, saya masih bekerja di jabatan kardiologi di sebuah hospital zon utara. Paling muda yang saya jumpa terkena serangan jantung (tersumbat saluran darah jantung) adalah 25 tahun. Seorang pemuda yang kacak bergaya, sayangnya dia perokok tegar. Ada juga yang baru mencecah 40an, tetapi sampai ajalnya di CCU (coronary care unit), juga asbab serangan jantung. Sedih kan?
.
.
Cabaran utama saya bukan di tempat kerja, tetapi yang paling besar adalah di dalam rumah sendiri; dia yang bakal temani saya sampai ke hari tua. Nasihat demi nasihat, tahun demi tahun, tetap tidak berhasil. Kecewa.
.
.
Tapi,
Tetaplah lelaki itu yang saya cinta. Harus bagaimana?
.
.
Sehinggalah sampai suatu hari keiginannya untuk berhenti merokok membuak-buak. Rawatan suami bermula dengan ubat untuk mengurangkan ketagihan nikotin (Champix) di bawah pantauan Klinik Berhenti Merokok di Klinik Kesihatan. (Sebenarnya saya sendiri tolong pantau).


Alhamdulillah. Masuk tahun ke 4 dah bebas rokok.
Nah, awak rasa siapa yang paling bahagia sekarang?
.
.
.
Nak berhentikan ketagihan ni bukan senang dik non! Kena ada daya dan azam dari lubuk hati perokok itu sendiri, disertakan dengan kaunseling dan rawatan (jika perlu).


Ada juga yang kuat semangat, berhenti serta merta tanpa ubat. Mereka ni, kita pakat tabik ramai-ramai. Bukan calang-calang kuat semangat dia sehinggakan isteri-isteri sekalian boleh beri ganjaran piala besar pada suami.


Waktu sukar mereka adalah selepas 24 jam tanpa rokok dan kesan ketagihan seperti resah, hilang fokus, pening dan cepat marah boleh berlanjutan sehingga 2 ke 4 minggu. Bersabarlah kita semuanya demi kebaikan.


Ramai arjuna dan abang-abang sado berazam nak berhenti, tetapi gagal akibat ketagihan nikotin yang kuat. Maka kalahlah mereka dipertengahan jalan.


Mungkin ramai yang tak sedar, merokok merupakan salah satu penyebab masalah ereksi atau mati pucuk (erectile dysfunction). Hilang terus kesadoan awak, bang! Waktu tu, badan berketak-ketak pun tidak lagi memberi erti.


(Itu belum lagi cerita kesan-kesan merokok yang lain, sebab selalu yang terjadi bagai mencurah air di daun keladi)


_


Nak berjaya memang tak mudah, tapi tak mustahil.


Yang berniat nak berhenti dan ingin dapatkan nasihat, pergilah cepat-cepat berjumpa doktor di klinik-klinik berdekatan.


Genggamlah tangan suami dan pergi bersama-sama. Tunjukkan support yang tak berbelah bagi.
Boleh juga rujuk link Klinik Berhenti Merokok.





27/2/17
Najwa,
isteri yang sentiasa mencinta.






No comments: