Wednesday, March 29, 2017

Elakkan cuci telinga dengan cotton bud



Beberapa hari lepas datang seorang ibu dengan anak perempuannya. Telinga berdarah tiba-tiba waktu anaknya mengorek telinga sendiri dengan putik kapas (cotton bud).
Kata emaknya, sambil mengorek telinga sambil bermain. Tak sengaja tercucuk ke dalam.
Aduh, sakitnya tu disini!



Cotton bud menolak ear wax jauh ke dalam

Ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita ambil iktibar dan jadikan panduan. Saya kongsi yang mudah-mudah dulu ya.
Penggunaan cotton bud bukanlah cara terbaik untuk keluarkan tahi telinga (ear wax). Apatah lagi kalau digunakan sendiri oleh anak-anak kecil tanpa pantauan.

Cotton bud boleh menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam. Berisiko tersumbat tahi telinga.
Ia boleh sebabkan iritasi kepada dinding laluan lubang telinga. Plastik atau kayu pada cotton bud boleh menyebabkan luka pada lapisan kulit dinding telinga.
Ini yang berlaku pada kes tadi. Selepas pemeriksaan, tiada lagi pendarahan. Yang tinggal cuma sedikit darah beku (keruping merah) pada permukaan awal dinding laluan telinga. Mungkin tercucuk waktu bermain. Lega saya, gegendangnya masih baik.
Bayangkan kalau cotton bud itu tertolak lebih jauh ke dalam dan merosakkan gegendang? Nanti jadi masalah kurang pendengaran, atau jangkitan bahagian telinga dalam.

Ada waktunya, kapas dari cotton bud tertinggal di dalam. Boleh jadi punca tersumbat dan jangkitan.
Dirumah, kadangkala cotton bud tak ditutup dengan betul. Terdedah kepada udara dan bakteria. Lepas tu kita pula ambil dan korek telinga. Secara tak langsung bawa jangkitan ke dalam telinga.

Simpan elok-elok di tempat yang tak boleh dicapai oleh anak-anak kecil.
Kalau kita tak berhati-hati, boleh rosakkan telinga tanpa sengaja.
Korek dengan besi?

Lagilah tak digalakkan.



Berisiko merosakkan gegendang

Tahi telinga atau ear wax ni dihasilkan secara natural. Ada fungsi dan kebaikannya, seperti :-
1) melindungi telinga daripada kekotoran, hama dan jangkitan bakteria.
2) melindungi dan melembap bahagian laluan dalam telinga.
3) menghalang serangga daripada masuk ke dalam telinga.
Cuba bayangkan telinga kita bersih sebersihnya tanpa wax. Mudahlah semut berjalan keluar masuk dalam telinga. Hehe.

Habis macam mana nak cuci?

Memadailah dengan cuci atau lap permukaan lubang telinga dengan kain atau tisu bersih. 
Serpihan, keruping atau 'flakes' tahi telinga akan jatuh sikit demi sedikit.
Kita tak perasan pun ia jatuh.


Ada sesetengah orang penghasilan tahi telinganya berlebihan dan berkemungkinan mudah untuk tersumbat.
Jadi, berjumpalah dengan doktor jika mempunyai masalah tersumbat telinga.
Anda mungkin diberikan pelembut ear wax secara titisan seperti waxsol, cerumal atau soluwax. Nanti saya kongsi cara gunakan pelembut ear wax.
Kalau dah keras sangat, kita boleh buat 'ear irrigation'. Cuci telinga di klinik.
_
Panjang sungguh.

Terima kasih sebab baca sampai habis.
Yang mana baik, ambillah sebagai input kebaikan.



No comments: