Monday, April 24, 2017

Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson

Awalnya pagi tadi rancang nak ke Teluk Kemang. Tapi bila sampai Port Dickson, kami cuma mandi di Pantai Cahaya Negeri, di jalan Pantai Batu Empat, Port Dickson.
Tak sesak sangat. Maklumlah, cuti panjang, tempat lain orang ramai.
Persisir pantainya nampak bersih. Airnya agak jernih. Sesekali nampak ikan berenang-renang.
Ramai juga yang buat aktiviti berkumpulan & hari keluarga disitu.Tandas dan tempat mandi nampak masih baru, selesa dan bersih.
Di kawasan belah kanan pantai ada jeti berjalan kaki menuju ke Pulau Burung. Tapi kami tak sempat ke sana. Cuaca dah panas.









Lain kali boleh singgah lagi.

Korang pula cuti panjang pergi mana?

Akak dah keletihan, muka bertambah gelap 2 tona. Haha.





Friday, April 21, 2017

Masalah sinus atau resdung : Cuci sendiri dirumah



Selalunya bila saya stress, emosi ke laut yang penuh gelora, sistem dalam badan saya pun ikut menangis sama.

Bila saya stress, saya perasan, masalah sinus akan datang. Hidung sumbat, sakit kepala. Nak bernafas pun susah. Sistem imun badan jadi huru-hara.





Yang selalu jadi kawan baik masa tu, 'Neilmed sinus rinse' ni. Bantu cuci saluran hidung dan sinus, cairkan mukus yang tebal supaya laluan pernafasan/hidung lebih bagus. Cilia (bulu-bulu hidung yang berfungsi untuk memerangkap kekotoran atau bakteria) juga akan bekerja dengan lebih efektif.

Sachet serbuk tu boleh beli di farmasi. Campur dengan air steril, goncang-goncang, masukkan air ke salah satu lubang hidung dan air akan keluar melalui lubang sebelah lagi.

Pakar ENT yang cadangkan guna sejak tahun 2015. Waktu tu keadaan saya teruk, saya nak kerja pun susah, nak bercakap pun tak cukup nafas. Tapi kalau korang nak cuba, pastikan consult dengan doktor dulu nah.

Jujurnya saya rasa persekitaran sekarang ada nilai tambah pada diri sendiri. Kenalan semakin ramai, kerap berjalan tepi pantai, bermain ombak, hormon-hormon gembira lebih banyak. Alhamdulillah.

Nak kurus je belum.
Haha.

Tuesday, April 18, 2017

Lukisan komik Irfan

Malam tadi saya bising-bising sebab Irfan titiskan water colour di atas lantai waktu buat latihan gabungan warna asas.

Garang betul, kata abinya.
Salah ibu juga sebab tak lapik.

Minggu lepas waktu balik dari kerja, Irfan teruja tunjukkan komik nukilan dia. Walaupun macam lawak bila baca jalan ceritanya, tapi untuk budak tahun 3, bagus juga. Kreatif. Mungkin nanti boleh digilap lagi.

Terimalah,
1) Pengakhiran Hidup Kawan
2) Orang mengamuk menjadi hantu








Berceritalah


Setiap satu peristiwa seharian kita adalah bahan baku yang bisa kita olah menjadi tulisan.

Teruslah menulis, bercerita dari hati dan menginspirasi.


Anak-anak di KLIA


Resepi Ketupat Sotong


Cuci sotong, buang tulang, dakwat dan gigi sotong. Tau dak gigi sotong celah mana? Haha. Kemudian toskan.

Nak sedap lagi, cari sotong yang ada telur. Masa beli tu pilih yang kembung sikit perutnya.
Akak dapat 2 ekor yang penuh telur tadi. Hehe.

Pergi belakang rumah, ambil daun pandan.



Beras pulut direndam 30 minit. Akak bubuh sikit garam dan santan (sikit je).





Ok. Isikan pulut dalam perut sotong. Masukkan 3/4 je, jangan penuh. Kalau penuh nanti takut pulut tak masak sempurna.

Lepas tu masukkan kepala sotong, tekan rapat ke dalam. Cucuk pencungkil gigi (guna 2 batang) secara menyilang, bentuk X. Ni nak elak pulut terkeluar masa masak.




Susunkan dalam periuk cantik-cantik. Letak daun pandan.
Akak masak guna rice cooker je. 






Lepas dah susun cantik, mandikan dengan santan pekat. Curah sampai cukup menutupi sotong. Jangan tambah air nah! Nanti sotong akan keluarkan air lagi.

Masak sampai santan mendidih (akan pecah minyak). Bila dah didih, baru letak gula melaka dan garam sikit (untuk bagi rasa lebih lemak).

Bab manis ni, kena ikut citarasa sendiri. Bubuh gula melaka berperingkat supaya tak terlajak manis. Akak tak suka manis sangat.





Nah! Teruja tak? Gemuk gedempol ketupat sotongnya. Haha. Padat sungguh pulut dalam tu. Macam mana nak tau pulut dah masak ke belum? Angkat seekor, akak cungkil sikit guna pisau nak rasa pulut dah masak elok ke belum.

Lupa pulak nak timing berapa lama pulut masak dalam sotong tadi. Aduhh!



Gambar tak jelas sangat. Tapi sotong ni bila dipotong memang cantik je pulut dalam tu. 
Nyummsssss!

Selamat mencuba~









Merantau ke Deli


Saya bertanya pada suami,
"Sekarang ni masih kuat lagi tak adat macam ni?"

Adat orang Padang, orang Minang.

Mengahwini perempuan beradat Minang ; isterinya itu perlu dibelikan tanah dan sawah serta dipersiapkan rumah di tanah persukuannya sendiri.

Sebenarnya buku ini baru habis saya baca. Lara perempuan Jawa yang akhirnya diusir kerana bukan asalnya Minang, berlainan adat dan keturunan.

Demikian juga kisah duka cinta Zainudin dan Hayati yang tersepit akibat kongkongan adat minangkabau, di dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (adaptasi dari karya HAMKA)

Awak pernah tengok ceritanya?
Best!

Menyingkap disebalik tabir, mereka yang kita panggil doktor bius.





Membaca kisah-kisah yang dikongsi di dalam buku BILA JANTUNG KATA BEEP BEEP yang ditulis oleh 3 orang doktor bius ini, mengingatkan kembali detik emak sendiri dalam keadaan kritikal di ICU.
Mengalami jangkitan kuman serius (urosepsis) sehingga keadaannya menjadi sangat kritikal. Bernafas cuma dengan bantuan mesin pernafasan.
Organ badannya mula menunjukkan tanda kegagalan termasuklah buah pinggang yang akhirnya tidak dapat melalui hemodialisis lantaran tekanan darah yang terlalu rendah walaupun diberi bantuan maksimum ubat inotropes (yang menyokong tekanan darah).
Beberapa kali berbincang dengan doktor bius yang juga merawat emak di ICU, akhirnya kami redha, sampai waktunya melepaskan emak pergi ke negeri abadi.

Doktor bius ini, selain merawat pesakit kritikal di ICU, mereka jugalah di bilik bedah dan sering tercicir dari penghargaan, tetapi dibahu mereka tergalas tanggungjawab yang menggunung.
Kita tahu doktor yang membedah, tetapi jarang sekali kita tahu siapakah yang membius dan memantau setiap denyut jantung kita semasa di atas meja bedah.

Jujurnya saya rasa buku ini bukan saja untuk staff kesihatan malah bermanfaat bagi mereka yang diluar bidang kesihatan.
Ceritanya santai walau sarat pengajaran. Bahasanya ringkas dan mudah faham (juga disertakan maksud bagi medical jargon yang digunakan).

Selain kisah resusitasi di ICU dan bilik bedah, mereka juga ceritakan tentang pre-op assessment, epidural dan jenis-jenis kaedah bius. Terselit juga konflik dan kesukaran berdepan keluarga pesakit.
Selesai baca, baru saya tahu, kes pembedahan yang memerlukan pemindahan kulit dari mayat itu bukan murah. Kulitnya dijual mengikut inci persegi.
Nak tahu lanjut, kenalah baca sendiri.
Hihi.
_

Thursday, April 13, 2017

Kasih seorang suami

Beberapa hari lepas saya berjumpa sepasang suami isteri. Kata si suami, sejak isterinya alami masalah rambut gugur yang teruk, dia yang mengambil alih tugas memasak di dapur.

"Bimbang pakcik, kalau-kalau rambut makcik tak sengaja masuk ke dalam lauk waktu memasak. Nanti apa pula kata anak-anak atau tetamu"

Allahu.
Kasih sungguh pakcik pada isteri.
Berusaha, supaya nama baik isteri sendiri terjaga walaupun dengan anak-anak sendiri.

"Doktor jangan risau, pakcik akan pantau makanan makcik bermula sekarang" sambungnya lagi lepas saya beritahu bacaan kolesterol dan uric acid isterinya tinggi.

Sampai malam saya teringat cerita pakcik ni.
Sungguh, kadang-kadang Allah hantarkan orang lain kepada kita supaya dengannya kita dapat ambil iktibar.
Terasalah pipi sendiri bagai ditampar waktu tu.
_
Najwa Hamidi
Suamiku pun sweet juga.

Wednesday, April 12, 2017

Mandian untuk anak ekzema

Kadang-kadang kuat sembang bukan cerita apa pun. Sembang bab mandi pun boleh lama. Cara mandikan anak yang kulit sensitif atau yang ada masalah ekzema.

Bukan semua emak-emak ada handphone, apatah lagi internet (terutama yang duduk kawasan pedalaman sikit). Tunjuk cara, belajar sama-sama, okeh?


Saya kongsi benda mudah-mudah, yang kita boleh buat sama-sama dirumah.
 Elak mandi air panas sebab ia akan buat kulit bertambah kering

 Produk mandian : kalau boleh, cari jenis 'gentle cleanser', unscented, fragrance free, dye free. Campuran bahan-bahan ni berpotensi buat iritasi pada kulit. Contoh : cetaphil gentle cleanser (contoh saja, tak ada share mana-mana company hehe)

 Elak produk mandian yang ada kandungan alkohol sebab ia juga buatkan iritasi kulit (terutama waktu tengah teruk).

 Elakkan guna sabun yang berbuih-buih. Jadi tak bolehlah mandi buih ya dik. Hehe.

 Cara nak lap : elak lap kulit dengan cara menggosok atau 'scrubbing'. Kita 'dap-dap' saja dah cukup.

 Lepas siap mandi dan lap, lekas-lekas sapu pelembap ke seluruh badan anak atau tempat-tempat yang sensitif dan kering. Paling bagus kalau dapat sapu pelembap dalam masa 3 minit selepas mandi.

Antara yang elok, carilah oil-free moisturizer, contohnya Cetaphil moisturizing cream.


Bab ekzema ni panjang, dan ianya bukan sekadar krim.
_
Saya bukan Pakar Kulit, yang mana elok, boleh ikut. Mai lah jumpa di Klinik Siti Tanjung Sepat, boleh sembang lama.

Tuesday, April 11, 2017

Anugerah untuk ayah

Hari itu aku meninjau sekitar kedai-kedai di Pasaraya Bukit Jambul. Akhirnya dress hitam panjang yang dipilih. Bakal digayakan dengan kasut sarung berwarna coklat muda.
Gembira mula berakar menanti hari istimewa. Waktu sedang bersenang-senang itulah aku teringatkan sesuatu.
“Kenapa tak mahu jadi doktor?”
“Kenapa?”
Ayah mula berubah wajah dan nada suara.
Aku tahu, aku bakal berhadapan soalan-soalan yang menyesak fikiran. Kenapa tidak diberi peluang untuk lakukan sesuatu yang sejiwa dengan hati. Jadilah apapun, tapi bukan doktor. Sengaja diberikan pelbagai alasan demi menolak permintaan ayah.
“Nanti mesti sibuk, belajar susah, kerja juga susah.”
“Kalau esok ada keluarga, tentunya tak ada masa”.
Keputusan matrikulasi yang lepas cemerlang. Walaupun pada mulanya agak berkecil hati dengan keluarga yang tak hadir waktu penyampaian anugerah pada hari akhir di matrikulasi, perasaan itu lama-lama lenyap dimakan masa.
Menjadi salah seorang yang cemerlang bersama 2 calon lain, menerima Anugerah Bistari dari Pak Lah, Timbalan Perdana Menteri waktu itu, perasaan gembira cuma tersimpan dalam poket sendiri.
Gara-gara tidak setuju dengan kemahuan ayah, dua hari bertegang urat. Merajuk tidak bercakap. Borang permohonan pengajian tinggi dipangkah juga, walau tidak sepenuhnya rela. 5 pilihan, kesemuanya jurusan kedoktoran.
Aku akhirnya mengalah, takut menyakiti hati ayah.
.
.
“Dr Zaharatul Najwa bt Hamidi”
Aku tersenyum waktu nama dipanggil dan terus menaiki pentas. Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2012 bagi Daerah Timur Laut, Pulau Pinang itu aku pegang kemas.
5 tahun bekerja, tak pernah terlintas akan terima hadiah sebegitu rupa.
Alhamdulillah.
Ternyata, ayah yang tak banyak bicara itu suatu masa dulu benar-benar yakin dengan kebolehan anaknya.
“Terima kasih ayah kerana percaya”
.
.
Najwa Hamidi
Mengenang cerita lama yang tak pernah dikongsi.

Monday, April 10, 2017

Jangan takut jatuh


Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh.
Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah.
Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.
(Hamka)


Friday, April 7, 2017

A Temporary Matter by Jhumpa Lahiri

Kisah pendek ini habis saya baca dan ianya sangat menyentuh hati. Mengisahkan kesepian dua hati setelah kematian bayi pertama mereka.
Ianya dalam Bahasa Inggeris, tulisan Jumpha Lahiri, 'professor of creative writing' di Princeton University, US.
Saya dalam proses mengumpul kisah-kisah pendek. Manatahu, boleh dijadikan inspirasi untuk menulis.
Berangan, tak salahkan?
Hehe

Boleh baca disini


Berbuat baik


Hanya kerana orang lain berbuat tidak baik kepada kita, bukan bererti kita harus membalasnya dengan cara yang sama.
Jadilah pohon yang berbuah lebat, dibaling batu dibalas buah.


Thursday, April 6, 2017

Bayaran balik ganti rugi biasiswa persekutuan (JPA)


Ada sahabat yang bertanya sebelum ni tentang 'Bayaran Balik / Ganti Rugi' ke atas pegawai yang mendapat tajaan "Biasiswa Persekutuan".
Macam saya misalnya, telah meletak jawatan dalam tempoh kontrak berkhidmat yang masih berkuatkuasa ( tempoh 10 tahun), telah dikenakan "penalti ganti rugi" biasiswa persekutuan.
Bukanlah bermakna suruh korang letak jawatan, haha.
Tapi kalau ada yang perlukan maklumat, dimana atau bagaimana mahu berurusan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), maka bolehlah hubungi senarai pegawai yang saya kongsikan di gambar.




Selain itu, bolehlah lawati portal MySelf JPA ; http://myself.jpa.gov.my.
No akaun bayaran balik boleh didapati di portal ni.

Ada banyak kaedah bayaran yang boleh kita buat, tapi lebih mudah buat bayaran melalui Maybank2u.
Sebarang pertanyaan, boleh email kutipan@jpa.gov.my
atau boleh terus ke,
Unit Pengurusan Kutipan & Ganti Rugi, 
Bahagian Pembangunan Modal Insan, 
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM, 
Aras 4, Blok C1, Kompleks C, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 
62510 Putrajaya.
Tel :03 8000 8000

-
Hutang tetap kena bayar dik, walaupun sakitnya tuh di hati.
Lagi satu elakkanlah aniaya penjamin.
Adik tak bayar hutang, penjamin yang kena ligan.
Kata nak cari kerberkatan, kan?




Tuesday, April 4, 2017

Serunding Bilis Halia untuk ibu berpantang

Serunding Bilis Halia
================
Pening kepala tak tahu nak masak apa?
Tengah berpantang tak sempat nak masak?





Nak rasa serunding bilis halia yang sedap?
Paling best makan dengan nasi panas-panas!
Campur dengan bubur nasi pun lazat!
Bukan untuk orang berpantang saja, satu keluarga boleh makan.




Diperbuat dari ikan bilis berkualiti.
Produk homemade, bersih dan halal.
Tanpa MSG.





.
Kami hasilkan serunding bilis halia setiap minggu dan tentunya ianya fresh untuk anda.
Disimpan dalam bekas kedap udara dan boleh tahan lama hingga ke 2 bulan.






Bagaimana nak order?

Untuk pesanan, boleh hubungi,
0124350269
0124350269
0124350269
.
Harga (tidak termasuk postage)
200gram rm20
100gram rm10




Penghantaran (FREE COD) sekitar Bagan Lalang, Sg Pelek, Taman Sepang Putra.
Postage menggunakan POSLAJU setiap hari bekerja.
Follow Fb Page Daposeri, Instagram @daposeri


..........
Serunding bilis halia, serunding halia ikan bilis, serunding ikan bilis, resepi berpantang, makanan berpantang, makan dengan nasi panas dan bubur nasi.

Abi dan anak-anak


"Ko tau tak Ya, abi tu marah pasal dia sayang kita. Kalau dia tak marah, nanti kita yang jadi tak baik. Ko nak jadi tak baik ke?".

Irfan sambung 'ceramah' lepas Alya kena marah dengan abinya.

Begitulah.
Selalunya abi akan beritahu apa kesalahan dan mana yang perlu diperbetul semula. Sambil membebel.

Boleh tahan panjang bebelan abi hampa noh.
Haha.


Monday, April 3, 2017

Kebaikan nenas



Sumber natural yang kaya dengan vitamin C.

1 cawan nanas (165gram) nanas dianggarkan mengandungi 78mg vitamin C. Banyak ok!

Paling bagus sebab mengandungi Bromelain; superpower enzyme yang bersifat anti-inflammatori (anti radang)

Sesuailah untuk yang alami ekzema atau alergi dan yang punya masalah penghadaman.
.
.
Belum sempat apa-apa, sekali hadap Alya dah habiskan. Tak bagi ibu pun!

Uwaa..

Nuffnang Adds