Friday, May 19, 2017

Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan

Tadi datang Pegawai Kesihatan membuat pemeriksaan dan pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan. Mereka datang nak pantau, jika ada produk atau sample makanan bayi seperti susu formula atau produk berkaitan seperti botol susu, puting susu dan puting kosong (pacifier).
Alhamdulillah, tiada sebarang masalah. Kami tak menjual susu formula atau produk berkaitan. Kami memang menggalakkan serta menyokong semua ibu supaya menyusukan bayi mereka dengan susu ibu sahaja selama 6 bulan pertama selepas kelahiran bayi, dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga 2 tahun, di samping memberi makanan pelengkap.
Insyaallah, bila ada masa, saya suka bercerita tentang breastfeeding dan bersedia membantu jika ibu-ibu yang datang ada masalah berkaitan breastfeeding. Pengalaman menghadiri Kursus Laktasi beserta pengalaman sendiri menyusukan anak, bolehlah dikongsi bersama dengan yang lain.
Betul, menyusukan anak ni, ada jatuh bangunnya. Belum kira air mata yang keluar bila ada masalah bengkak susu, luka di nipple, susu merudum, bekalan susu dalam peti ais atau deep freezer rosak bila bekalan elektrik tiada atau tak sengaja tertutup plug. Hehe.
Pernah berlaku, bekalan susu perahan untuk anak ke 3 saya penuh satu deep freezer. Mana tahu, arwah emak tak sengaja tertutup suisnya dan saya cuma perasan perkara tu berlaku selepas 3 hari. Semua susu rosak. Mulanya saya menjeruk rasa, down sangat ke lautan yang paling dalam. Lepas tu pelan-pelan bangun dan kayuh semula. Moga mak ampunkan saya waktu tu.
Walau bagaimana kuat dugaannnya, tetaplah sabar dan penuh juang ibu-ibu manis sekalian.


No comments: