Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus

July 12, 2017

Untuk anak-anakku,

Irfan , Alya dan Sofea,

Moga nanti 
Kamu tidak leka,
Megah dan sombong dengan ilmu,
Merendahlah diri,
Jangan sampai hilang budi pekerti.

Pandai-pandailah membawa diri
tika ibu dan abi tiada lagi disisi.
doa kami akan selalu mengiringi.

......................................................................


Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus

Kuhantar kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kau mesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading

Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal

Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego yang menghalau pekerti

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan luka dan balutan luka
di sayapmu yang patah

(Oleh Sazalee yacob)

.....................................


Sedikit tentang penulis puisi diatas.

Hj Sazalee Yacob merupakan seorang penyair dan penggiat sastera, telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2009. (Al Fatihah).

Puisi di atas merupakan sebahagian dari antologi Sejarah Rindu KOMSAS dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 5, telah memenangi beberapa anugerah diantaranya ialah:

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003
Hadiah Sastera KEMUDI 1994
Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1994
Hadiah Puisi Kebangsaan 1995
Hadiah Saguhati HSUMB 1995









No comments:

Powered by Blogger.