Friday, August 4, 2017

Bernazar untuk berhenti rokok


Baru-baru ini saya memuji seorang lelaki.
Muda lagi, baru berumur 24 tahun, tetapi dia sudah membuat keputusan yang betul demi kebaikan diri sendiri dan anak-anak.
Datangnya ke klinik kerana batuk.
"Baru 2 minggu saya berhenti merokok".
"Alhamdulillah. Tahniah. Syabas". Sepanjang konsultasi, beberapa kali juga saya memuji.
Bukanlah nak memikat atau ambil hati. Marah suami saya nanti hehe. Harapnya pujian yang sikit itu dapat memberi impak baik pada emosi dia.
Pengorbanan besar tu, berhenti merokok.
Sebenarnya bila kita berhenti merokok, sel silia yang berada di lapisan saluran pernafasan kita akan kembali berfungsi dengan baik.
Silia (seakan rerambut halus) akan bertindak 'brush out' atau membuang segala kotoran dan mukus di saluran pernafasan supaya keluar.
Sebab itu di peringkat awal berhenti merokok, kebanyakan mereka akan batuk-batuk dan banyak kahak.
Bayangkanlah, terlalu lama merokok, silia kita tak berfungsi dek nikotin dan segala macam racun dari rokok itu sendiri. Apabila tiada sistem yang bantu menolak segala kotoran, mudahlah terkena jangkitan paru-paru.
Saya kagum dan bertanya lagi apa sebenarnya yang buatkan dia mahu terus berhenti merokok.
Katanya, baru-baru ini anak kecilnya sakit, terkena jangkitan paru-paru.
"Saya bernazar, doktor. Kalau anak sihat, saya akan berhenti".
Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan dia. Anaknya kembali sihat. Ayah pula ambil keputusan yang baik demi kesihatan diri sendiri dan keluarga.
Begitulah hidup, kadang kala ada satu 'turning point' yang buatkan kita kembali ke jalan yang lebih baik.
Tetaplah nak puji suami sendiri yang dah hampir 4 tahun berhenti merokok.



No comments: